Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia di Ibu kota semalam. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia di Ibu kota semalam. FOTO BERNAMA

Putrajaya: Sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini atau tahun depan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia memerlukan banyak pertimbangan sebelum keputusan untuk membubarkan Parlimen dibuat.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan sekarang ialah menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan negara termasuk isu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang belum diketahui kesannya serta cabaran kelembapan ekonomi dunia yang diramal berlaku tahun depan.

Perdana Menteri berpandangan bahawa PRU15 boleh diadakan jika kedua-dua faktor isu dan ekonomi dapat diseimbangkan.

"… kita takut tentang ketidaktentuan ekonomi tahun depan (dan) kalau kita tunggu lagi susah, mungkin tahun ini.

"Tetapi kalau kita kata tahun ini, isu-isu terlampau banyak berlaku sekarang dan banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sebab itulah agak sukar untuk membuat penentuan," katanya pada temu bual Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri di Seri Perdana.

Hari ini genap setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan Keluarga Malaysia. Beliau mengambil alih jawatan nombor satu negara selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Diajukan soalan yang banyak berkisar berkaitan pilihan raya dan politik, Naib Presiden Umno itu akur bahawa mandat perlu dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

"Ya, rakyat perlu diberi peluang untuk memilih kerajaan baharu, sebab dah berubah tiga (kali) kerajaan. Ada yang mengiktiraf, ada yang tak mengiktiraf, lebih baik pulangkan balik mandat ini kepada rakyat. Tetapi, isu pun banyak yang saya kata perlu diselesaikan…dari segi ekonomi, pendapatan, pekerjaan.

"Walaupun antara Januari sampai sekarang kita dah menyediakan 400,000 pekerjaan kepada rakyat kita, tetapi seperti saya kata, dari segi upah (gaji minimum) RM1,500 itu sesuai ke tak sesuai, mungkin perlu ditingkatkan lagi. Setengah-setengah tu kata tak mencukupi…jadi banyak isu yang perlu diselesaikan," kata beliau dalam nada berterus-terang menzahirkan keprihatinannya terhadap isu dan hal kebajikan rakyat.

Mandat lima tahun kerajaan semasa akan tamat pada Julai 2023 dan PRU15 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri adalah Perdana Menteri ketiga yang dilantik dalam tempoh tiga tahun sejak PRU14 pada 9 Mei 2018, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan dan tumbang pada Februari 2020.

Muhyiddin, yang menerajui Perikatan Nasional (PN), mengambil alih kepimpinan kerajaan sehingga Ogos 2021. Meskipun dilanda pandemik Covid-19, Malaysia menyaksikan empat pilihan raya negeri diadakan iaitu Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.

Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Melaka dan Johor, selain membentuk kerajaan di Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata, kejayaan ditempa BN pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada kejayaan gabungan parti itu pada PRU15.

BN merekodkan prestasi cemerlang pada PRN Melaka yang diadakan pada November tahun lalu dan PRN Johor, Mac lalu, dengan masing-masing merekodkan majoriti lebih dua pertiga.

Bagi PRN Johor, beliau berkata, kemenangan BN mungkin disebabkan jumlah pengundi yang keluar mengundi kurang dan keadaan itu, katanya, amat berbeza ketika pilihan raya umum.

"Kalau kita buat GE (Pilihan Raya Umum), dia (pengundi) kata aku kena pergi juga mengundi maka kita pun tak tahu. (Pilihan Raya) Negeri mungkin bagi sesetengah orang tak mustahak untuk menentukan negeri ini menang atau tidak.

"Tapi (di peringkat) Persekutuan, amat berbeza walaupun tengah Covid-19 pun mereka akan keluar mengundi hanya untuk pastikan parti dia menang untuk membentuk kerajaan. Saya berpendapat tak boleh dijadikan sebagai sandaran. Sebab itu saya beritahu kemenangan di Melaka, kemenangan di Johor tak boleh jadi penanda aras untuk kita melihat kepada sokongan kepada kita (BN)," katanya.

Mengenai saranan Top Five Umno mahukan PRU15 diadakan tahun ini, Perdana Menteri berkata, semua pemimpin berkenaan termasuk beliau boleh mengemukakan apa sahaja pandangan, namun keputusan akhir untuk membubarkan Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

"Top Five boleh bincang apa saja…kalau saya bawa ke Kabinet, Kabinet setuju untuk pilihan raya, bila tarikh sekian untuk saya bubarkan, saya bawa kepada (Yang di-Pertuan) Agong, (Yang di-Pertuan) Agong tak setuju... tak jadi," katanya.

Top Five merujuk kepada Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.

Berbeza dengan sebelum ini, Ismail Sabri berkata, keputusan pembubaran Parlimen perlu dibincangkannya di peringkat Kabinet memandangkan BN bukan lagi gabungan yang membentuk kerajaan secara bersendirian.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Ismail Sabri yang dibentuk pada Ogos 2021, adalah kerajaan campuran BN, PN, Gabungan Parti Sarawak. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 7:02 AM