Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul

Kuala Lumpur: "Jika yakin dengan kemenangan, kita tidak akan tunggu walaupun satu saat pun untuk bubar Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden Umno itu memberi jaminan isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU-15 akan dibincangkan bersama 'top five' Umno.

Ismail Sabri berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan jemaah menteri.

Beliau berkata, sebarang perkembangan dan keputusan mengenai perkara itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk diperkenankan.

"Dua kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) membuat kita menjadi lebih bersemangat untuk berjuang sehingga timbul permintaan supaya Parlimen dibubarkan segera.

"Saya mendengar cadangan pembahas mengenai pembubaran Parlimen dan saya memberi jaminan keputusan besar ini akan dibincangkan dengan 'Top Five' (Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden Umno) parti," katanya ketika menggulung ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 (Pau 2021), di Pusat Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Pengumuman itu mendapat sorakan dan tepukan gemuruh dari pemimpin dan perwakilan Pau 2021.

ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.
ANWAR mengadakan pertemuan dengan Erdogan di Ankara. FOTO Facebook.

Sepanjang empat hari perhimpunan berlangsung, pimpinan kanan dan sayap serta perwakilan mahu PRU-15 diadakan segera.

Ini susulan momentum sokongan rakyat yang semakin tinggi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN) susulan kemenangan bergaya PRN dan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keputusan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa hari lalu dibuat selepas PRN Johor kerana tidak mahu ada pihak yang cuba menjadi 'hero' menjuarai isu ini.

"Saya pilih untuk mengumumkan (pengeluaran khas KWSP) pada waktu sesuai kerana sepanjang musim PRN Johor ramai pihak melakukan pusingan U.

"Pembangkang akan dakwa itu perjuangan mereka dan saya mahu rakyat tahu KWSP sebenarnya perjuangan Umno," katanya.

Permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April ini sehingga 30 April manakala tempoh pembayaran akan dilaksanakan bermula 20 April ini.

Ahli KWSP dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, dan perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 5:31 PM