Ahmad Zahid berucap ketika hadir Program Ramah Mesra sempena Pilihanraya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan MIC Johor, Tampoi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ahmad Zahid berucap ketika hadir Program Ramah Mesra sempena Pilihanraya Negeri (PRN) Johor di Bilik Gerakan MIC Johor, Tampoi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat Julai nanti.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, faktor 'feel good' yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN perlu diambil kesempatan, sekali gus menyegerakan PRU15.

Katanya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Persekutuan September tahun lalu yang berakhir 31 Julai antara lain mempersetujui PRU-15 harus diadakan selepas Julai.

"Jadi mengapa mereka (pembangkang) berubah fikiran kononnya PRU15 seharusnya diadakan hingga akhir 2023 dengan MoU 2.0 mahu ditandatangani.

"Ini bermakna mereka (pembangkang) ada masalah dalaman, tak yakin dan rasa ditolak rakyat. Pada hemat saya, jangan beri masa yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang secukupnya untuk mereka susun barisan mereka.

"Rakyat telah bertukar cita rasa kepada BN. Kita lihat di dalam PRU14 ditangguhkan lebih daripada setahun selepas kita menjuarai Sukan SEA menyebabkan tiada faktor 'feel good' lagi dalam kalangan rakyat menyebabkan BN tewas.

"Saya harap kali ini apabila faktor 'feel good' sudah menjadi faktor utama untuk menggamit dukungan rakyat semula maka perlulah mandat baharu di peringkat nasional diperoleh daripada rakyat untuk mewujudkan kestabilan di negara kita," katanya selepas meninjau Bilik Gerakan MIC Negeri Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah dan Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Semalam, pembangkang dilaporkan bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai PH dengan kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.

Anthony Loke (PH-Seremban) ketika sidang Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pembangkang tiada masalah meneruskan MoU itu selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak supaya PRU15 disegerakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 2:34 PM