DR Mohd Ekhwan pada sidang akhbar dan pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2021, di Ibu Pejabat MPM. FOTO Aswadi Alias
DR Mohd Ekhwan pada sidang akhbar dan pengumuman keputusan peperiksaan STPM 2021, di Ibu Pejabat MPM. FOTO Aswadi Alias
Suraya Roslan


Selayang: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 menunjukkan peningkatan dengan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.79 berbanding 2.78 pada 2020.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, bagaimanapun pencapaian calon STPM 2021 secara keseluruhannya dianggap masih sama dengan pencapaian tahun sebelumnya kerana perbezaan peningkatannya yang sangat kecil iaitu hanya 0.01 mata.

Beliau berkata, buat kali pertama tiada perbezaan jurang pencapaian antara calon bandar dengan calon luar bandar sejak 2013 yang mana kedua-duanya memperoleh PNGK 2.79 dalam STPM 2021.

"Seramai 874 calon atau 2.14 peratus mendapat PNGK 4.00 dan daripada jumlah ini, 584 calon adalah golongan bawah 40 (B40).

"Bilangan calon mendapat PNGK 4.00 meningkat kepada 133 calon iaitu 741 calon pada 2020 kepada 874 pada 2021," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2021 di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.

Dr Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, lebih menggembirakan dalam peperiksaan STPM 2021 itu juga bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil bertambah daripada 23 calon pada 2020 kepada 36 calon.

"Pertambahan adalah sebanyak 13 calon atau 56.52 peratus berbanding tahun sebelum.

"Daripada 36 calon yang mendapat 5A ini, 21 daripadanya adalah kategori calon B40," katanya.

Menurutnya, daripada segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati peratusan longgokan calon STPM 2021 pada PNGK 3.75 dan ke atas (9.04 peratus), PNGK 3.00 dan ke atas (41.72 peratus), PNGK 2.75 dan ke atas (55.85 peratus), dan PNGK 2.00 dan ke atas (88.24 peratus) adalah meningkat berbanding 2020.

"Dengan peningkatan peratusan bilangan calon pada PNGK yang disebut ini, maka boleh dijadikan jangkaan tiada halangan lebih ramai calon lepasan STPM 2021 diterima masuk ke Universiti Awam pada tahun ini.

"PNGK calon dalam peperiksaan STPM dihitung berdasarkan purata nilai gred empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am," katanya.

Katanya, bilangan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 adalah 42,369 calon menurun 5.22 peratus daripada 44,704 calon yang mendaftar STPM 2020.

"Daripada 42,369 calon yang mendaftar, sebanyak 96.59 peratus calon (40,926 calon) hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2021," katanya.

Menurutnya, keputusan peperiksaan STPM 2021 dikeluarkan hari ini dengan pelbagai platform antaranya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) sehingga 28 Ogos atau pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK.

10 Calon Terbaik STPM 2021 (PNGK 4.00, Gred 5A)

1. Nur Errmalyssa Erryannie Esa (SMK Kota Klias, Beaufort)

2. Leong Wei Zhe (SMK (L) Methodist, Kuala Lumpur)

3. Nur Yasmin Hani Kasman (SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan)

4. Lim Sze Ling (SMK Pulau Sebang, Tampin, Melaka)

5. Nurul Izzatie Azman (SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Johor)

6. Bryan Lim Kien Seng (SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak)

7. Madihah Zulkifli (SMA Maarif, Besut, Terengganu)

8. Nurin Shafikah Rosdi (SMK Tendong, Pasir Mas, Kelantan)

9. M Veni Tharani (SMK Tunku Ampuan Durah, Seremban, Negeri Sembilan)

10. Lois Low Xin Ning (SMK Sam Tet, Ipoh, Perak)


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 2:31 PM