Oleh Nazdy Harun


Chukai: Terengganu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.03 peratus mengatasi PNGK nasional iaitu 2.79 peratus dengan perbezaan 0.24 peratus dalam Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Azman Othman berkata, 2,142 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2021 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,365 calon.

Menurutnya, pencapaian semua A (PNGK 4.00) dalam mata pelajaran yang diambil bagi 2021 ialah 64 calon berbanding 2020 iaitu 55 calon. Ia adalah peningkatan 2.35 peratus.

Katanya, prestasi PNGK sekolah di Terengganu juga menunjukkan peningkatan yang mana, pada 2019, ia mencatatkan 3.02, 2020 (3.03) dan 3.03 peratus bagi 2021.

"Manakala bagi keputusan semua A bagi 2018, 47 calon memperoleh semua A dan pada 2019, ia meningkat kepada 72 calon manakala pada 2020, berlaku penurunan kepada 55 calon. Bagi 2021, keputusan kembali meningkat kepada 64 calon.

"Sebanyak 27 daripada 45 sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas manakala pada tahun sebelumnya, 29 buah sekolah memperoleh keputusan yang sama," katanya ketika Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM 2021 Negeri Terengganu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini, hari ini.

Menurutnya, 39 daripada 45 sekolah di negeri ini mengatasi PNGK nasional (2.79) manakala 43 daripada 45 sekolah mendapat keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2021.

Katanya, bagi keputusan tahun ini, 1,187 iaitu 56.6 peratus calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 2020 iaitu 1,352 iaitu 57 peratus calon yang memperoleh keputusan sama.

"Terengganu mencatat kecemerlangan untuk empat tahun berturut-turut dalam keputusan STPM," katanya.

Azman Othman (tengah) bergambar bersama Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chukai  selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021. FOTO GHAZALI KORI
Azman Othman (tengah) bergambar bersama Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chukai selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 2:33 PM