Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Semangat patriotik yang mendalam dalam diri menjadikan seorang peniaga petai tidak pernah gagal menghias basikal miliknya dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan sejak 32 tahun lalu.

Setiap kali memasuki Ogos, Mohd Amin Ahmad, 56, akan menghias basikal dengan memasang Jalur Gemilang sebagai rutin setiap tahun sebelum menanggalkannya selepas Hari Malaysia berakhir pada 16 September.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, basikal berkenaan digunakan untuk mencari rezeki untuk menjual petai di sekitar bandar raya ini.

"Setiap kali 1 Ogos, basikal saya sudah sedia dengan puluhan Jalur Gemilang dan sepanjang tempoh itu, pergerakan saya menjaja petai di sekitar Kota Bharu akan menjadi tumpuan ramai.

"Selain mereka meminta saya berhenti untuk membeli petai, ada juga yang meminta saya berhenti untuk mengambil gambar selain yang bersedekah untuk membeli bendera.

"Inilah rutin tahunan saya sejak 1990, malah anak-anak serta isteri sudah faham dengan semangat saya setiap kali menjelang Hari Kebangsaan," katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Mohd Amin yang berasal dari Kampung Bertam Baru, Gua Musang berkata, setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, dia akan bermalam di Stesen Keretapi Wakaf Bharu, Tumpat sehingga Hari Malaysia.

"Berbanding bulan biasa, saya memang berniaga dengan menjaja menggunakan basikal di sekitar Kota Bharu dan setiap minggu saya akan menaiki kereta api untuk pulang ke Gua Musang.

"Namun, setiap kali Ogos hingga Hari Malaysia, saya tidak akan pulang ke Gua Musang kerana lebih bersemangat untuk mengayuh basikal dihiasi Jalur Gemilang untuk masuk ke kampung-kampung.

"Memandangkan tidak pulang ke Gua Musang, isteri akan menghantar bekalan petai untuk dijual setiap dua hari sebanyak 400 keping," katanya.

Katanya, setiap kali tiba Hari Kebangsaan, semangatnya akan menjadi luar biasa terutama ketika mengayuh basikal yang dipenuhi Jalur Gemilang.

"Saya tidak pernah rasa membazir dengan membeli Jalur Gemilang sebaliknya usaha yang dilakukan ini sekurang-kurangnya boleh mendedahkan kepada masyarakat tentang semangat patriotik," katanya.

Amin Ahmad menghias basikal dengan memasang Jalur Gemilang. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Amin Ahmad menghias basikal dengan memasang Jalur Gemilang. Foto Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 12:53 PM