Paya Linda Yahya


Gua Musang: Bagi menzahirkan semangat cintakan tanah air, lebih 1,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang menghias 12 blok kediaman itu dengan 12,000 Jalur Gemilang.

Aktiviti sempena Hari Kemerdekaan ke-65 negara itu turut membabitkan hiasan seperti replika wau dan menara.

Wakil penduduk Blok K, Shukri Idris, 54, berkata, setiap tahun semua penduduk akan bergotong-royong menghias blok dengan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan.

"Setiap penduduk sama ada Melayu, India dan Cina saling bekerjasama menghias blok masing-masing. Sokongan daripada penduduk juga sangat memberangsangkan.

"Kami sama-sama menyumbang wang untuk membeli bendera dan peralatan menghias. Tahun ini kita dapat kumpul RM1,000.

Penduduk PPR Gua Musang bergotong royong menghias blok dengan replika dan bendera Malaysia, di sini hari ini. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk PPR Gua Musang bergotong royong menghias blok dengan replika dan bendera Malaysia, di sini hari ini. FOTO Paya Linda Yahya

"Inilah cara kami menzahirkan semangat untuk menyambut Hari Kebangsaan dan rasa syukur kerana dapat menikmati kemakmuran hari ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Lee Man Theng, 41, berkata, setiap hari dia tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama penduduk memasang bendera di bloknya.

Katanya, kehidupan harmoni yang dikecapi hari ini hasil pengorbanan pejuang terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara

"Kita perlu bersemangat dan bangga dengan kejayaan ini dan seterusnya memelihara keamanan yang dikecapi," katanya yang sudah empat tahun menetap di situ.

Menurutnya, aktiviti yang dilakukan itu tidak hanya untuk menzahirkan semangat kemerdekaan, tetapi juga akan menjadi contoh dan ikutan kepada generasi mendatang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 12:19 PM