Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 membabitkan lantikan sub kontraktor bagi skim bekalan air Merbau Chiding di Machang.

Tertuduh, Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan wang RM10,000 daripada Ng Tze Wei, 44, melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank milik tertuduh di Maybank Jalan Mahmood di sini, pada 22 Januari 2015.

Suapan itu sebagai dorongan membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai sub kontraktor untuk menjalankan kerja merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta elektrikal untuk skim bekalan air Merbau Chinding fasa II, Machang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Mariah menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah, bagaimanapun Ahmad Adha Amir memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan anak guamnya mengalami masalah kesihatan yang kronik iaitu jantung dan buah pinggang.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM setiap 1 haribulan.

Mahkamah juga menetapkan 28 September sebagai tarikh pengurusan kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 12:00 PM
WAN Mohd Zamri Wan Ismail mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Mohd Zamri Wan Ismail mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR