Zulfadhli dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.
Zulfadhli dibawa ke Mahkamah Sesyen, semalam.

Kota Bharu: Seorang ahli ‘Geng Azhar’ dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan samun bersenjata secara berkumpulan dan menyimpan harta curi, bulan lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zulfadhli Mohamad, 26, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan dari tertuduh ditangkap pada 11 Oktober 2015.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan harta curi yang pemilikannya dipindahkan dengan cara rompak berkumpulan iaitu tiga beg duit kepunyaan Raja Shahrul Helmi Raja Shabuddin, 20, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Padang Raja, Machang kira-kira jam 6.05 pagi pada 11 Oktober 2015.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu lesen memandu, sebuah pemacu USB jenama Sony, sebuah telefon bimbit jenama Samsung dan sebuah dompet jenama milik Mohamad Farizuan Ikmal Fadzil, 19.

Kedua-dua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pisau terhadap Wan Muhammad Adli Wan Ab Rahman, 21, dengan melarikan dokumen penting, tiga laptop, tiga telefon bimbit, sebuah powerbank, enam beg galas, sebuah dompet, wang tunai RM150 yang keseluruhannya bernilai RM5,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat PT 2790, Taman Desa Bukit Ilmu, Kampung Air Belaga, Machang.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nordalina Ali memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Pada 11 Oktober lalu, polis berjaya menumpaskan satu geng yang giat melakukan samun terhadap pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang didalangi seorang suspek yang masih bebas iaitu Saiful Azhar Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 9:55 AM