Tertuduh, Muhammad Tarmizi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen bersama dua rakan banduan lain. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Tertuduh, Muhammad Tarmizi mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen bersama dua rakan banduan lain. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Tiga banduan masing-masing dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan meliwat banduan lelaki lain di sebuah bilik di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.

Tertuduh, Muhammad Tarmizi Mohd Sandy, 25; Wan Zulharie Wan Mustapha, 32, dan Mohamad Ariff Emeran, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang didakwa secara berasingan dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama berusia 26 tahun.

Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di sebuah bilik di Blok Amanah Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal yang mampu memberi pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

"Kesalahan dilakukan tertuduh ketika mereka sedang menjalani hukuman bagi kesalahan lain dan sepatutnya tertuduh menunjukkan kelakuan yang baik," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh yang membuat rayuan memohon hukuman minima dikenakan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh masing-masing lima tahun penjara bermula hari ini dan satu sebatan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Untuk rekod, kesemua tertuduh sebelum ini menjalani hukuman berkaitan kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 3:23 PM