MESIN gergaji berantai digunakan untuk membelah tual balak spesies cengal secara haram. FOTO Mohd Rafi Mamat
MESIN gergaji berantai digunakan untuk membelah tual balak spesies cengal secara haram. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Cubaan tiga lelaki untuk membelah 11 tual balak spesies cengal bernilai lebih RM80,000 secara haram digagalkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di sini, semalam.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, tiga lelaki berusia 34 hingga 55 tahun itu dipercayai mahu menggunakan kayu berkenaan bagi menghasilkan pelbagai produk hiasan seperti meja dan kerusi.

Menurutnya, hasil aduan awam pasukan Unit Penguat kuasa (UPK) Zon Pahang Timur JPNP melakukan semakan di kawasan terbabit yang terletak dalam hutan tanah kerajaan berhampiran dengan padang golf bertaraf antarabangsa.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui beberapa longgok balak yang tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan hasil hutan berkenaan dimiliki secara sah oleh pihak tertentu.

"Pada masa sama ketika serbuan dilakukan dua lelaki terbabit sedang melakukan aktiviti membelah balak bernilai tinggi itu dengan menggunakan dua unit mesin gergaji berantai yang telah diubah suai.

"Teknik membelah balak digunakan ialah dengan menggunakan batang besi bagi menyokong serta menampung mesin gergaji berantai yang digerakkan secara manual," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, salah seorang lelaki yang ditahan mendakwa dia mengusahakan tapak semaian dan mengupah dua lelaki untuk melakukan kerja membelah balak terbabit.

Nor Azirim berkata, soal siasat dilakukan terhadap tiga lelaki terbabit mendapati 11 tual balak yang ditemui tidak mempunyai dokumen yang dapat mengesahkan hasil hutan itu milik mereka secara sah.

"Aduan awam diterima mendakwa melihat sebuah lori membawa muatan balak berkenaan pada malam kelmarin secara haram.

"Anggota UPK Timur akan membuat pemeriksaan lokasi hutan tempat pokok Cengal berkenaan ditebang, kita percaya ia terletak hampir dengan tempat penemuan longgokan balak terbabit," katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan 11 tual balak disita, pemantau barang kes dilakukan UPK Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 3:04 PM