JPNP Pahang Timur menunjukkan papan tanda lesen tanah milik berwarna hitam pendaftaran Kelantan yang letakan pada balak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
JPNP Pahang Timur menunjukkan papan tanda lesen tanah milik berwarna hitam pendaftaran Kelantan yang letakan pada balak bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Maran: Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengekori sejauh 25 kilometer sebelum menahan dengan dua lori membawa 54 balak curi di Jalan Kuantan-Maran di sini, hari ini.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, susulan aduan awam diterima, pihaknya melakukan intipan di dua laluan utama di Kampung Seri Makmur dan Jalan Belimbing, di sini bermula 10 malam.

Menurutnya, selepas menunggu lebih sembilan jam anggota penguat kuasa akhirnya mengesan dua lori membawa muatan balak melalui Jalan Belimbing kira-kira 5.50 pagi sebelum mengekorinya.

"Kita mengekori sejauh 25 kilometer sebelum menahan dua lori terbabit yang turut kawal kenderaan pemberi maklumat atau tonto di bandar Maran pada jam 6.16 pagi ini.

"Dua pemandu serta seorang pembantu berusia 27 hingga 47 tahun berasal dari Kelantan dan Terengganu ditahan untuk soal siasat dan diambil keterangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan menahan dua lori terbabit berjaya membongkar lokasi kegiatan menebang balak secara haram terbabit yang berlaku di Kompatmen 35 Hutan Simpan Lepar di sini. Turut ditemukan jentera yang digunakan untuk menarik dan mengangkat balak ke atas lori.

Nor Azirim berkata, untuk mengaburi pihak berkuasa pemandu lori terbabit bertindak menggunakan papan tanda lesen tanah milik pendaftaran Kelantan pada balak berkenaan.

Katanya, semua balak yang cuba dipindahkan secara haram itu adalah spesies meranti membabitkan nilai kira-kira RM30,000.

"Pemandu lori terbabit mendakwa mereka tidak mengetahui balak yang dibawa tidak mempunyai permit atau dokumen sah daripada JPNP, alasan berkenaan biasa digunakan mereka yang terbabit dengan kegiatan mencuri hasil hutan di negeri ini.

"Lori dan jentera disita di pusat simpanan barangan kes JPNP di Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab. Usaha mengesan dalang kegiatan haram itu akan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:24 PM