Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Saya masih trauma untuk kembali ke sekolah selepas kejadian tangki air pecah," luah Ilham Normariam Mohd Hassan, 14.

Ilham Normariam adalah salah seorang daripada empat pelajar yang cedera selepas tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor pecah dan menimpa laluan pejalan kaki dalam kejadian jam 10 pagi kelmarin.

Pelajar Tingkatan Dua itu berkata, sehingga kini dia diberi cuti rehat beberapa hari sebelum kembali semula ke sekolah.

"Saya mengalami luka di kepala selain kaki terseliuh akibat terkena serpihan bumbung yang pecah dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Sehingga kini, saya masih trauma dengan apa yang berlaku dan masih takut untuk ke sekolah. Mungkin selepas cuti beberapa hari, semangat saya kembali pulih," katanya ketika ditemui di Kampung Tasik di sini, hari ini.

Menceritakan kejadian yang berlaku, Ilham Normariam berkata, ketika itu dia bersama rakan-rakannya dalam perjalanan ke tandas.

"Pada mulanya saya mendengar bunyi kuat sebelum kami terkena serpihan bumbung pecah. Selepas itu saya terus pengsan," katanya.

Dalam kejadian jam 10 pagi kelmarin, sekumpulan pelajar SMK Melor cedera selepas tangki air pecah sebelum menimpa laluan pejalan kaki.

Selain Ilham Normariam, tiga lagi pelajar yang cedera adalah Dhia Insyirah Mohd Fakhrul Izwan, Nurul Shafiqah Ayuni Mohd Azhar dan Nuramira Shahira Mohd Adnan masing-masing berusia 14 tahun.

Terdahulu, kesemua mereka menerima kunjungan daripada Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang hadir memberi sumbangan wang tunai kepada mangsa yang cedera.

TAN Sri Annuar Musa melawat Ilham Normariam (dua kiri) bersama Nuramirah Shairah (kanan), Dhia Insyirah (dua kanan) dan Nurul Shafiqah Ayuni (kiri) yang cedera selepas tangki air SMK Melor pecah dan menimpa laluan pejalan kaki kelmarin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TAN Sri Annuar Musa melawat Ilham Normariam (dua kiri) bersama Nuramirah Shairah (kanan), Dhia Insyirah (dua kanan) dan Nurul Shafiqah Ayuni (kiri) yang cedera selepas tangki air SMK Melor pecah dan menimpa laluan pejalan kaki kelmarin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 10:29 PM