Sayfullo Saipov, 29, ketika keluar dari pikap sambil mengacukan ‘senjata’. - Foto Daily Mail/AFP
Sayfullo Saipov, 29, ketika keluar dari pikap sambil mengacukan ‘senjata’. - Foto Daily Mail/AFP
Agensi

PRESIDEN Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, menawarkan kerjasama penuh pihak berkuasa Amerika Syarikat yang menyiasat kejadian seorang rakyat negara itu merempuh penunggang basikal serta pejalan kaki dengan trak pikap menyebabkan lapan terbunuh di Manhattan, New York, hari ini.

Menurut AFP, Mirziyoyev bagaimanapun, tidak mengesahkan lelaki itu adalah rakyat Uzbekistan namun siasatan pihak berkuasa Amerika menunjukkan lelaki itu, Sayfullo Saipov, 29, adalah dari negara berkenaan dan datang ke Amerika pada 2010.

Keadaan basikal yang dirempuh dan pasukan forensik memeriksa pikap yang digunakan. - Foto REUTERS/AFP
Keadaan basikal yang dirempuh dan pasukan forensik memeriksa pikap yang digunakan. - Foto REUTERS/AFP

Reuters melaporkan, lima mangsa yang maut ialah rakyat Argentina yang datang ke New York untuk pertemuan semula rakan sekolah. Belgium mengesahkan seorang wanita rakyat negara itu antara mangsa yang terbunuh.

Seramai 11 orang, termasuk seorang dari Argentina dan tiga Belgium, cedera dalam serangan pada hari Halloween itu.

Sayfullo yang tinggal di Tampa, Florida, tinggal di New Jersey, baru-baru ini, dan dia menyewa pikap berkenaan di sana.

Lima ahli rombongan dari Argentina disahkan terbunuh iaitu Hernan Diego Mendoza (kiri),  Alejandro Damian Pagnucco (dua dari kiri), Ariel Erlij (tiga dari left), Diego Enrique Angelini (dua dari kanan) dan Hernan Ferruchi (tiga dari kiri). - Foto Daily Mail

Menurut polis, lelaki itu memandu pada kelajuan lebih 100 kilometer sejam ketika merempuh orang ramai di laluan pejalan kaki dan penunggang basikal sebelum melanggar bas sekolah, kira-kira 3.05 petang waktu tempatan.

Dua orang dewasa dan dua kanak-kanak dalam bas sekolah berkenaan juga cedera.

Lelaki itu keluar dari trak dan mengacukan pistol yang kemudian diketahui pistol angin dan senapang sukan ‘paintball’ sebelum dia ditembak di perut oleh polis dan ditahan.

New York Times dan CNN melaporkan, suspek meninggalkan nota menyatakan serangan itu dilakukan atas nama Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:16 PM