SKUAD hoki wanita ketika perlawanan bertemu Zimbabwe. -FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
SKUAD hoki wanita ketika perlawanan bertemu Zimbabwe. -FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengendali skuad projek khas wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim mengakui anak buahnya meraih pengalaman berharga dalam penampilan sulung di Piala Dunia Hoki Remaja Wanita 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Skuad projek khas wanita negara menamatkan kempen kali ini di kedudukan ke-11 selepas menundukkan Zimbabwe 7-2 dalam aksi penentuan tempat ke-11/12, semalam.

Menurut Nasihin pengalaman dan pendedahan tertinggi yang diraih anak buahnya dilalui dengan baik selain pemain menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam setiap perlawanan.

"Perlawanan hari ini kami memang merancang untuk memberikan yang terbaik tidak mengira apa pun yang akan berlaku. Pada permulaan permainan, pemain bermula dengan sedikit kucar kacir dan berasa gementar," kata bekas penjaga gol kebangsaan itu.

Ujarnya, Zimbabwe mempunyai penyerang yang pantas jadi kami mengatur strategi untuk memberikan tumpuan pada bahagian tengah. Suku kedua kami mula untuk menjaringkan gol demi gol.

"Usaha yang telah ditunjukkan oleh pemain sangat bagus dan mereka memberikan segalanya serta mengikuti struktur perlawanan yang dirangka dengan sebaiknya.

"Pemain bermain dengan tenang di separuh separuh masa kedua dan mencipta beberapa peluang serta menjaringkan gol.

"Terima kasih kepada barisan kejurulatihan yang banyak membantu dalam menganalisa perlawanan dan terima kasih Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di atas kepercayaan kepada pasukan muda ini," katanya.

Aksi bertemu Zimbabwe menyaksikan Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pihak lawan menerusi gol padang yang disudahkan Tinodiwanashe Elijah seawal minit kedua namun Siti Nur Arfah Mohd Nor menyamakan kedudukan lapan minit kemudian hasil gol padang.

Zimbabwe kembali di depan hasil gol padang Alexi Terblanche namun jaringan berkenaan tidak bertahan lama apabila pasukan negara meledak dua gol berturut-turut pada minit ke-22 dan ke-23 hasil gol pukulan sudut penalti, Nur Insyirah Effarizal dan penalti stroke, Nuramirah Shakirah Zulkifli untuk Malaysia di depan 3-2.

Bersambung suku ketiga, anak buah Nasihin terus melebarkan jurang gol kali ini giliran Nur Afiqah Syahzani Azhar untuk mencatatkan nama selaku penjaring menerusi gerakan padang pada minit ke-39 dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minit ke-41 terus menghasilkan jaringan buat negara.

Penyerang negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu hasil gerakan padang pada minit ke-48 sebelum Khairunnisa Ayuni Mohd Shahruddin memastikan Malaysia menutup kempen sulung Piala Dunia Remaja Wanita dengan kemenangan bergaya 7-2 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 1:03 PM