Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan benteng penghadang ombak pecah dan runtuhan tanah berhampiran Jambatan Angkat di sini.

Difahamkan, hakisan dengan jarak lebih 50 meter itu sudah berlaku sejak dua tahun lalu secara berperingkat dan ia bertambah teruk mulai Februari lalu.

Tinjauan ke kawasan berhampiran muara Sungai Terengganu itu mendapati benteng penghadang ombak yang dibina pecah dan hampir tumbang manakala tiang lampu terbalik serta laluan pejalan kaki turut runtuh.

Seorang pemancing, Muhammad Hakim Hakimi Mohd Rahadi, 20, berkata dia sering ke kawasan itu dan minggu lalu ketika datang memancing, laluan pejalan kaki itu masih boleh dilalui orang ramai.

"Hari ini, saya terkejut apabila datang ke sini mendapati berlaku tanah runtuh yang turut mengakibatkan laluan pejalan kaki tidak boleh dilalui manakala tiang lampu tumbang.

"Justeru, saya mohon pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan hakisan lebih teruk berlaku ke kawasan lain," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, kawasan itu juga menjadi tumpuan orang ramai yang datang mengambil gambar dan jika ia dibiarkan akan memberi imej buruk kepada sektor pelancongan.

KEADAAN hakisan yang berlaku berhampiran jambatan angkat yang menyebabkan benteng pecah dan laluan pejalan kaki runtuh. FOTO Faizul Azlan Razak
KEADAAN hakisan yang berlaku berhampiran jambatan angkat yang menyebabkan benteng pecah dan laluan pejalan kaki runtuh. FOTO Faizul Azlan Razak

Seorang lagi pengunjung, Zulkifli Ismail, 47, berkata pihak yang berkenaan diharap mengambil tindakan segera.

Menurutnya, hakisan itu berlaku disebabkan pukulan ombak yang kuat sehingga benteng pecah dan hampir tumbang.

"Kita juga meminta pihak berkenaan menutup sementara kawasan ini bagi mengelakkan daripada berlaku kejadian tidak diingini berlaku.

"Struktur tanah di kawasan ini juga tidak stabil dan boleh membahayakan kepada pengunjung terutama kepada kanak-kanak jika bermain di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 4:05 PM