PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menewaskan Zimbabwe 7-2 pada kempen Piala Dunia Remaja Wanita, hari ini. FOTO ihsan FIH
PEMAIN negara meraikan jaringan ketika menewaskan Zimbabwe 7-2 pada kempen Piala Dunia Remaja Wanita, hari ini. FOTO ihsan FIH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad remaja wanita negara menamatkan kempen Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan di kedudukan ke-11 selepas menundukkan Zimbabwe, 7-2 pada perlawanan penentuan kedudukan ke-11/12, hari ini.

Bagaimanapun, Malaysia dikejutkan terlebih dahulu dengan jaringan awal lawan pada minit kedua hasil gol padang Tinodiwanashe Elijah.

Namun jaringan itu segera dipadam Siti Nur Arfah Mohd Nor pada minit ke-10, hasil gerakan padang.

Beberapa saat sebelum tamat suku pertama, Zimbabwe kembali di depan menerusi gerakan padang Alexi Terblanche, namun jaringan itu tidak bertahan lama.

Dua gol berturut-turut dicetak pasukan negara pada minit ke-22 dan ke-23 hasil pukulan sudut penalti Nur Insyirah Effarizal dan penalti stroke Nuramirah Shakirah Zulkifli untuk Malaysia mendahului 3-2 selepas berakhir separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, Malaysia terus menekan Zimbabwe dan melebarkan jurang menerusi Nur Afiqah Syahzani Azhar menerusi gerakan padang minit ke-39 dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki minit ke-41 untuk terus menghasilkan jaringan buat negara.

Penyerang negara, Nuramirah menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan itu menerusi gerakan padang minit ke-48.

Khairunnisa Ayuni Mohd Shahruddin memastikan Malaysia menutup kempen sulung Piala Dunia Remaja Wanita dengan kemenangan bergaya 7-2 selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-53.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 10:35 PM