Muhamad Kamaruddin turut menyertai Ops Carilamat. FOTO IHSAN MARITIM
Muhamad Kamaruddin turut menyertai Ops Carilamat. FOTO IHSAN MARITIM
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Penutup tong ikan dan pelampung bubu menjadi penyelamat Muhammad Kamaruddin Yudi daripada hanyut selepas bot dinaiki bersama lima rakan karam di 10 batu nautika dari perairan Pulau Redang di sini, Isnin lalu.

Muhammad Kamaruddin, 31, dari Kampung Cherang Ruku, Semarak, Kelantan berkata, dia terpaksa berenang lebih 14 jam dalam keadaan gelap dan laut bergelora untuk meminta bantuan penduduk pulau berhampiran.

"Selepas 14 jam, saya ternampak kapal layar milik pelancong asing sedang berlayar berhampiran, kira-kira 11 pagi Selasa.

"Pelancong itu bawa saya menaiki kapal layarnya dan menghantar saya ke bot milik Jabatan Perikanan yang sedang berlabuh di Pantai Teluk Dalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Kamaruddin berkata, tragedi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas memancing dan memasang bubu di perairan Pulau Redang sejak Ahad lalu.

"Kami berhenti dan berlabuh untuk menunaikan solat pada jarak 10 batu nautika dari pulau itu dan selepas menunaikan solat, tiba-tiba laut bergelora dan ribut.

"Dalam sekelip mata bot terbalik dan terus karam," katanya yang memberitahu dalam kelam kabut itu dia sempat berpaut pada pelampung bubu dan penutup tong ikan.

Muhamad Kamaruddin yang menyertai operasi pasukan Carilamat berkata, pegawai dan anggota Jabatan Perikanan membawanya ke lokasi bot karam untuk mengesan lima lagi rakan yang hilang.

Tiga rakannya iaitu Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemui lemas semalam, manakala dua lagi Raja Zainuddin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Zamri Ishak, 66, masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 1:46 PM