SULAIMAN (tengah) menyampai sumbangan sambil diperhatikan Fairul Nizam (kiri) dan Syaiful Rizal. FOTO YBR
SULAIMAN (tengah) menyampai sumbangan sambil diperhatikan Fairul Nizam (kiri) dan Syaiful Rizal. FOTO YBR

Melaka: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan bernilai RM100,000 kepada murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Tangga Batu, Kota Melaka dan Asahan, di sini, bagi membantu sesi persekolahan yang memasuki fasa endemik.

Seramai 1,000 pelajar menerima bantuan itu dalam program bantuan persekolahan YBR.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyampaikan bantuan sumbangan YBR kepada pelajar terpilih pada satu majlis di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Asahan (Adun) Fairul Nizam Roslan, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Untuk rekod, sehingga kini, seramai 60,558 pelajar dan murid menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM6.72 juta sejak 2018.

Pada 2022, sejumlah RM3 juta diperuntukkan dalam program bantuan persekolahan.

Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sumbangan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban terutamanya keluarga B40 menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu, bantuan persekolahan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM100 itu sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa atau penjaga menanggung sesi persekolahan yang dijalankan semasa fasa endemik.

"Bantuan ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak untuk terus menuntut ilmu serta sebagai tanda ikhlas YBR dalam membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 3:53 PM