BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


TIGA rumah kedai musnah dalam kebakaran di belakang Balai Polis Kuala Ketil, di Kuala Ketil, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran itu membabitkan sebuah kedai bunga, sekolah memandu dan kedai membaiki televisyen.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.48 pagi berhubung kebakaran itu dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) Ramli Saad tiba di lokasi, jam 2.53 pagi.

“Operasi disertai sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya bersama sebuah jentera dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

“Kebakaran membabitkan tiga kedai satu tingkat yang masing-masing musnah 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal jam 3.10 pagi tadi.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.

“Setakat ini, punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 8:42 AM