KEBAKARAN hutan di atas bukit Kampung Wang Perah. Anggota bomba memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
KEBAKARAN hutan di atas bukit Kampung Wang Perah. Anggota bomba memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


KEBAKARAN kawasan hutan seluas enam hektar di atas bukit Kampung Wang Perah, Jitra memberi cabaran besar kepada 15 anggota dan pegawai bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.

Mereka bukan sahaja ‘berperang’ dengan api lapan jam, tetapi terpaksa menempuh perjalanan hampir sejam mendaki bukit setinggi 200 meter itu.

Kebakaran dipercayai sudah berlaku hampir 22 jam, iaitu 9 malam Jumaat lalu, sebelum sepasukan anggota BBP Jitra diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin ke di lokasi untuk memantau keadaan.

Disebabkan faktor keselamatan, operasi pemadaman hanya dilakukan 11 pagi semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, api merebak dengan cepat disebabkan faktor angin, rumput dan daun kering dan cuaca panas.

“Anggota BBP Jitra mengambil masa agak lama untuk mendaki bukit itu disebabkan keadaannya curam, selain terpaksa membawa peralatan untuk memadam kebakaran.

“Namun, mereka berjaya mengawal api dari terus merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi disertai 15 anggota serta pegawai, tiga jentera dan sebuah lori tangki air dari BBP Alor Setar.

Beliau berkata, api berjaya dikawal 4.15 petang, sebelum dipadam sepenuhnya 7.39 malam.

“Operasi pemadaman dilakukan dengan membentangkan 15 gulung hos ke atas bukit dengan dua pancutan, selain turut dibantu lori tangki air dari BBP Alor Setar (sumber air).

“Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan turut dipantau melalui dron Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah,” katanya.

Mohamadul Ehsan, anggotanya turut dihantar ke lokasi semalam untuk melakukan pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 1:58 PM