Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Budaya buli terutama buli siber dilihat semakin berleluasa dan boleh menjadi ancaman kepada masyarakat sekiranya tidak ditangani dengan segera.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, buli siber dikesan lebih berbahaya berbanding buli fizikal kerana ia boleh dilakukan mana-mana individu menerusi aplikasi media sosial.

Menurutnya, walaupun buli siber boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kes berkenaan masih berleluasa sehingga memberi kesan negatif kepada mangsa.

Katanya, ia termasuk menjatuhkan imej dan reputasi mangsa, menjejaskan kesihatan mental, mengancam keselamatan dan sebagainya.

"Budaya buli dalam masyarakat sama ada buli di sekolah, buli di tempat kerja, buli di jalan raya atau apa sahaja budaya buli perlu dihentikan segera.

"Sebab itu, kita mengadakan seminar seperti ini bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai budaya buli seterusnya menghentikan budaya buli sama ada fizikal atau mental termasuk buli siber," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Psikologi Kesihatan (Psyche 1.0): Hentikan Buli! Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022, di sini, hari ini.

Menurut Dr Kasemani, pihaknya mempunyai seramai 18 pegawai psikologi di seluruh negeri untuk memberi khidmat nasihat.

"Mereka bersedia untuk memberikan khidmat nasihat atau kaunseling kepada mana-mana kakitangan yang mempunyai masalah," katanya.

Kasemani Embong semasa sidang media. FOTO GHAZALI KORI
Kasemani Embong semasa sidang media. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 5:28 PM