Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Seramai 323,000 populasi dewasa daripada kumpulan rentan di Terengganu layak menerima suntikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia membabitkan seramai 31,000 petugas barisan hadapan, 104,000 warga emas dan 188,000 golongan komobiti.

Beliau berkata, pemberian suntikan dos ketiga itu akan diberikan sebaik sahaja pihaknya menerima arahan untuk memulakan proses pemberian itu di peringkat negeri.

"Mengenai proses atau tempat pemberian suntikan pula, kita akan melihat kepada situasi golongan sasar ini memandangkan pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan integrasi akan ditutup pada 15 Oktober depan.

"Kalau petugas barisan hadapan, kita boleh beri suntikan di PPV klinik kesihatan atau hospital sekiranya suntikan itu berlaku selepas 15 Oktober ini.

"Kita akan lihat semula mengenai lokasi itu nanti. Berkaitan stok vaksin, kita tidak ada masalah dan hanya menunggu kebenaran untuk melakukan suntikan," katanya yang ditemui ketika melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kampung Sungai Berua di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, seramai 327 masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua menerima suntikan vaksin Cansino hari ini manakala seramai 398 masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam, Kemaman akan menerima suntikan sama esok.

Secara keseluruhannya, katanya, terdapat seramai 747 Orang Asli di negeri ini layak menerima suntikan vaksin Covid-19 termasuk 22 orang lagi dari perkampungan Kuala Sayap, Hulu Besut yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Pfizer dan Sinovac pada pertengahan bulan lalu.

"Majoriti masyarakat Orang Asli tidak mempunyai telefon pintar, jadi mereka atau mana-mana individu yang tidak mempunyai kemudahan itu boleh menggunakan kad vaksin yang dibekalkan apabila mereka menerima suntikan.

"Mengenai suntikan terhadap pelajar Orang Asli yang berusia antara 12 hingga 17 tahun pula, ia akan diselesaikan sebaik sahaja pemberian vaksin terhadap populasi dewasa selesai dan jumlahnya pun tidak ramai yang mana kita akan cari mereka nanti," katanya.

PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum melakukan suntikan vaksin COVID-19 jenis CanSino  kepada orang asli. FOTO Ghazali Kori
PETUGAS kesihatan membuat pemeriksaan kesihatan sebelum melakukan suntikan vaksin COVID-19 jenis CanSino kepada orang asli. FOTO Ghazali Kori

Mengulas mengenai suntikan pelajar di Terengganu, Dr Kasemani berkata, setakat semalam, sebanyak 19 peratus atau 21,898 pelajar daripada 102,000 orang yang layak sudah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, ia termasuk pelajar dibawah Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat Agama dan swasta dengan proses pemberian berkenaan akan diselesaikan pada bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 3:33 PM