SEKUMPULAN gajah berkeliaran di perumahan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Batu 2, Bukit Samsu, Selasa lalu. Gambar Ihsan Penduduk.
SEKUMPULAN gajah berkeliaran di perumahan projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Batu 2, Bukit Samsu, Selasa lalu. Gambar Ihsan Penduduk.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Anak lelaki saya terdengar bunyi pelik di belakang rumah, tanpa membuang masa anak saya membuka tingkap dan melihat sekumpulan gajah," kata seorang suri rumah dikenali sebagai Nuryn, 39.

Berkongsi kejadian berlaku pada jam 4 pagi, Selasa lalu, Nuryn berkata dia dan ahli keluarganya melihat dua gajah dewasa dan tiga anak gajah di belakang rumah di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Batu 2, Bukit Samsu di sini.

Menurutnya, kumpulan gajah itu mungkin lapar dan sedang mencari makanan.

"Kumpulan gajah ini memandang keluarga kami dengan mata yang sayu seolah-olah minta izin untuk ambil makanan pucuk ubi dan pisang di belakang rumah.

"Dalam hati saya ada berkata kepadanya supaya ambillah makanan dan selepas itu pulanglah dalam keadaan selamat.

"Gajah berkenaan gajah tu seolah-olah mengerti, lepas ambil buah pisang dan pucuk ubi dia pun beredar pergi," katanya.

Nuryn berkata, pada pandangannya, gajah berkenaan tidak akan mengganggu manusia sekiranya habitatnya tidak terancam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminuddin Jamin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan kejadian berkenaan.

Pusat Santuari Gajah (JES) yang dijangka siap pada 2025 di Kota Tinggi berupaya meningkatkan kualiti habitat haiwan berkenaan.

Komponen pembangunan yang disiapkan dalam Fasa 1 merangkumi padok gajah, padang ragut, jambatan, jalan masuk utama, bangunan pentadbiran, serta berek pekerja.

Pusat berkenaan dijangka dibuka kepada orang awam selepas berakhirnya Fasa 2 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat yang berkunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 12:16 PM