ANGGOTA MAQIS sedang memeriksa salah sebuah lori yang membawa hasil pertanian dalam Operasi Pematuhan Import Pertanian di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. FOTO IHSAN MAQIS
ANGGOTA MAQIS sedang memeriksa salah sebuah lori yang membawa hasil pertanian dalam Operasi Pematuhan Import Pertanian di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang. FOTO IHSAN MAQIS
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan merampas 1,347 kilogram keluaran pertanian bernilai RM9,124 atas kesalahan tidak mempunyai permit import dan tidak mematuhi syarat import.

Pengarah MAQIS Negeri Kelantan, Roslan Che At berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti cili padi, lengkuas, pisang, ubi keledek dan daun limau purut yang dibawa masuk dari Thailand.

Katanya, rampasan itu hasil dua jam Operasi Pematuhan Import Pertanian yang dijalankan pihak MAQIS di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, kelmarin.

"Anggota turut menahan tiga lori yang membawa dagangan sayur-sayuran dan buah-buahan di atas pelbagai kesalahan.

"Satu kesalahan dikesan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) iaitu perbuatan mengimport ubi keledek dan daun limau purut tanpa suatu permit yang sah dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS.

"Manakala, dua kesalahan mengikut Seksyen 15(1) yang membabitkan dagangan cili padi, pisang dan lengkuas dengan tidak mematuhi syarat permit import yang ditetapkan dengan tidak mematuhi pematuhan Penggredan, Pembungkusan dan Perlabelan (3P)," katanya.

Roslan berkata, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali dibawah Seksyen 11(3) dan 15(2) Akta yang sama.

"Pihak kami melihat kesalahan ini sesuatu yang serius kerana walaupun segelintir daripada pengimport sudah dikenakan tindakan sebelum ini, namun masih terdapat yang berdegil dan seolah-olah idak takut dengan tindakan undang-undang yang dikenakan.

"MAQIS sentiasa memandang serius dan menjalankan tindakan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 12:24 PM