Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Terminal bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, yang didakwa dipenuhi gelandangan seperti tular di media sosial menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai.

Pada masa sama, mereka juga dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ini kerana golongan itu dilihat berkumpul dengan ada antaranya tidak memakai pelitup muka, malah warganet juga mendakwa kehadiran mereka mengganggu pengguna lain yang menunggu bas.

Malah, tinjauan Harian Metro juga mendapati kira-kira 50 gelandangan menjadikan bangku di terminal bas berkenaan sebagai tempat untuk berehat selain tidur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh berkata, beliau tidak pasti tujuan individu terbabit menularkan foto kehadiran gelandangan di lokasi berkenaan.

Katanya, tindakan berkenaan seolah-olah mahu menjatuhkan imej kerajaan negeri yang selama ini turut membantu hal berkaitan golongan terbabit.

Terminal bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, yang menjadi lokasi transit pengangkutan awam kini diibaratkan sebagai 'rumah' kepada gelandangan sejak lebih sedekad lalu. FOTOT Zuhainy Zulkiffli
Terminal bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, yang menjadi lokasi transit pengangkutan awam kini diibaratkan sebagai 'rumah' kepada gelandangan sejak lebih sedekad lalu. FOTOT Zuhainy Zulkiffli

"Cuba siasat dahulu, adakah mereka benar-benar gelandangan yang tiada rumah?

"Ia berikutan ada antara mereka yang mempunyai tempat tinggal, tetapi keluar dari rumah dan menghabiskan masa di situ sebelum pulang semula pada waktu malam," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Boon Poh berkata, berhubung pematuhan SOP, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis bagi diambil tindakan.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran kepada sukarelawan atau badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan makanan kepada gelandangan di situ.

"Saya tidak mahu mengulas mengenainya kerana jika kita berbincang dengan sukarelawan dan NGO, ia seolah-olah menunjukkan kita beri kebenaran kepada mereka bagi berbuat demikian," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Pusat Transit Gelandangan di Jalan CY Choy, di sini, dijangka siap mengikut masa yang ditetapkan.

"Ia sudah 64 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober depan," katanya.

Pusat transit inisiatif kerajaan negeri itu dibina bagi menangani isu gelandangan di negeri ini dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 6:12 PM