PEMENANG IKTBN Bukit Mertajam bergambar bersama Dr Wasitah.
PEMENANG IKTBN Bukit Mertajam bergambar bersama Dr Wasitah.
Fazurawati Che Lah

Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam menjulang Piala Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam kejohanan Youth Robot Challenge 2018 (Y-RoboC’18) di IKTBN Sepang, baru-baru ini.

Kejohanan dua hari bersempena program Gerbang Kerjaya Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Tengah itu disertai 42 pasukan dari ILKBS, MARA Japan Industrial Institute (MJII), Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan beberapa institut lain.

Menurut Jawatankuasa Media dan Promosi Gerbang Kerjaya ILKBS 2018, Nur Nadia Bachok, Piala Ketua Pengarah BPKB itu mula diperkenalkan pada tahun ini dengan kerjasama Persatuan Alumni ILKBS.

“IKTBN Bukit Mertajam berdepan saingan sengit untuk muncul juara dengan IKTBN Pagoh terpaksa berpuas hati sebagai naib juara manakala tempat ketiga menjadi milik IKTBN Chembong.

“Pertandingan ini adalah acara kemuncak yang mempamerkan kerja dalam pasukan dan ketelitian serta kemahiran dalam mengendalikan robot sehingga berjaya menumpaskan pihak lawan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah BPKB KBS, Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof, melahirkan rasa gembira dengan pembabitan Persatuan Alumni ILKBS dalam menjayakan program yang dianjurkan pada peringkat ILKBS, termasuk menaja piala pusingan berkenaan.

“Saya yakin dan berharap sokongan seperti ini akan diteruskan oleh alumni ILBKS pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 11:55 AM