TUNKU Ismail (dua kanan) selepas perjumpaan bersama Onn Hafiz (kanan) mengenai perkembangan terkini pembinaan Youth Centre. FOTO Ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor
TUNKU Ismail (dua kanan) selepas perjumpaan bersama Onn Hafiz (kanan) mengenai perkembangan terkini pembinaan Youth Centre. FOTO Ihsan Facebook HRH Crown Prince of Johor
Omar Ahmad

Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bercadang mewujudkan Youth Centre atau pusat belia di setiap daerah di Johor sebagai visi baginda membangunkan belia Johor menjadi modal insan berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan.

Dalam hantaran terbaru di laman sosial Facebook baginda, Tunku Ismail bertitah, Johor Youth Centre berperanan menjadi pusat pembangunan belia perdana di Johor dan membuka ruang yang kondusif memperkasakan sekali gus membolehkan belia Johor mencungkil bakat untuk perkembangan peribadi, serta menuju ke arah kejayaan hidup serta memupuk semangat kekitaan dalam kalangan belia.

"Youth Centre itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pusat latihan untuk bengkel kemahiran, kursus dan seminar, selain aktiviti sukan dan luar, kesenian serta kebudayaan.

"Ini bermaksud, Youth Centre akan menjadi tumpuan aktiviti membabitkan belia di Johor untuk memastikan hala tuju dan kualiti kandungan aktiviti adalah selaras dengan taraf sedunia," titahnya, hari ini.

Sebagai permulaan, baginda sudah memanggil Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pegawai Daerah Muar dan Mersing untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai pembinaan dua lagi Johor Youth Centre di daerah berkenaan.

Titahnya, projek itu sangat dekat di hati baginda kerana golongan belia kini menghadapi pelbagai cabaran hidup yang unik dan berlainan berbanding generasi sebelum ini.

"Belia Johor memerlukan ruang yang kondusif dan inklusif untuk pengembangan diri, dan saya harap matlamat ini dapat direalisasikan melalui pembinaan Johor Youth Centre.

"Saya berdoa agar segala urusan mengenai pembinaan Youth Centre di Johor dipermudahkan untuk memberi manfaat yang terbaik kepada anak Johor dengan kerjasama kerajaan negeri, jabatan dan agensi yang berkaitan," titahnya.

Pada 19 September lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Tunku Ismail akan mengetuai dan memimpin semua aktiviti belia di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 7:35 PM