SYED Saddiq (kiri) bersalaman dengan anak muda di majlis Festival Belia Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
SYED Saddiq (kiri) bersalaman dengan anak muda di majlis Festival Belia Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Nur Izzati Mohamad

JAWATANKUASA khas akan dibentuk bagi mencari kaedah untuk mengurangkan kadar pengangguran serta mengatasi tangga gaji dihadapi golongan belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, statistik daripada Kementerian Sumber Manusia dan Bank Negara Malaysia (BNM) merekodkan kadar pengangguran belia di negara ini pada paras 10.7 peratus.

“Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terpanggil untuk berusaha mengurangkan kadar pengangguran daripada 10.7 peratus kepada ‘single digit’ (bawah 10 peratus) iaitu dengan mengusulkan menubuhkan jawatankuasa khas.

“Jawatankuasa khas ini bertujuan untuk mencari dan mencipta satu juta peluang pekerjaan seperti dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita jangkakan ia dapat dicapai dalam tempoh lima ke 10 tahun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Anak Muda Pulau Pinang di Tapak Pesta, Georgetown, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin serta EXCO Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.

Beliau berkata, kabinet juga sudah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu dengan pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi.

“Uniknya, dalam jawatankuasa khas ini bukan hanya diwakili jemaah menteri tetapi ia akan disertai tokoh korporat yang sekian lama mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di negara ini.

“Ini kerana, kerajaan amat memerlukan sokongan daripada sektor swasta, khususnya dalam menyelesaikan masalah tangga gaji yang dilihat statik sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar itu berkata, tangga gaji statik itu muncul sebagai masalah utama, walaupun belia mempunyai kemahiran dan mengikut kehendak pasaran.

“Ia dapat dilihat bukan sahaja dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun belia yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan sarjana juga tangga gaji mereka dilihat statik.

“Ada kata anak muda malas dan meminta gaji tinggi tetapi ia tidak benar, sebaliknya mereka hanya mahukan kadar gaji yang bermaruah (setimpal dengan kelayakan),” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap sektor korporat dapat terus menyalurkan dana untuk pembangunan sukan elektronik (e-sukan).

“Kita ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak pernah sesen pun mengeluarkan dana untuk sukan ini yang mana ia kebanyakannya ditaja sektor korporat.

“Sepertimana sukan elektronik yang dianjurkan negara sebelum ini ia semuanya ditaja sektor korporat dan kita berharap mereka dapat terus melaksanakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:53 PM