MAHDZIR ketika melawat tapak rumah baharu yang akan dibina untuk 17 buah keluarga mangsa banjir di Desa KEDA Sadek, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MAHDZIR ketika melawat tapak rumah baharu yang akan dibina untuk 17 buah keluarga mangsa banjir di Desa KEDA Sadek, di sini, hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Baling: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina rumah baharu kepada 17 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam bencana banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rumah jenis teres itu akan dibina di atas tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Desa KEDA Sadek di Kupang, di sini dengan anggaran kos sebanyak RM1.5 juta.

"Kita dapati bahawa di Desa KEDA Sadek ini ada dua lokasi untuk pembinaan rumah, satu adalah padang yang anak-anak muda main bola dan satu lagi adalah di tanah kosong tepi jalan.

"Saya sudah bincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamarudin Abd Akib dan kita bersetuju menjadikan tapak tanah di tepi jalan sebagai perumahan untuk mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan ke tapak tanah itu di Desa KEDA Sadek di sini, hari ini.

Mahdzir, berkata rumah itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan dan akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus serta tidak boleh didiami ekoran bencana itu.

Katanya, pembinaan rumah itu mungkin mengambil sedikit masa kerana akan membabitkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Mahdzir berkata laporan terkini menunjukkan lebih 400 buah rumah mangsa banjir disenaraikan untuk dibaik pulih berbanding laporan awal sebanyak 60 buah rumah.

KPLB katanya sudah mengadakan perbincangan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyegerakan kerja baik pulih kerosakan rumah mangsa banjir terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 9:53 PM