M Hifzuddin Ikhsan

Baling: Kerajaan dalam proses memuktamadkan pelantikan jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) sebelum ia dapat diumumkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menjelaskan, pengumuman mengenai individu yang bakal menerajui Keda akan dibuat selepas pihaknya mendapat pengesahan.

"Ada (nama Pengerusi KEDA), saya akan umumkan nanti bila tiba masanya," katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan bagi meninjau kerja pembinaan rumah di Desa KEDA Sadek, Kupang di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Keda Datuk Kamarudin Abd Akib.

Sebelum ini, Ahmad Zahid ketika hadir majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW di Jitra pada 5 April lalu, mengumumkan bekas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Keda yang baharu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya menjelaskan, keputusan pelantikan Azeez itu akan diteliti semula menyebabkan jawatan itu masih kosong sehingga kini.

AHMAD Zahid mengadakan lawatan di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sadek. FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid mengadakan lawatan di Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sadek. FOTO BERNAMA

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, pihaknya memberi keutamaan kepada kerja membina dan baik pulih kediaman mangsa banjir di daerah itu yang dilanda banjir sebanyak 11 kali dalam tempoh lima tahun lalu.

"Kita ada (jumlah rumah daif dan uzur) tetapi jumlah ini tidak lengkap sebab ia hanya ikut senarai E-Kasih jadi kita harus lihat jumlah sebenar yang perlu bantuan pembaikan atau bina baharu.

"Keda sendiri sudah membina lapan unit rumah berkembar Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) yang membabitkan peruntukan RM528,000 di penempatan Desa Keda Sadek sejak tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 2:40 PM