HAJIJI memeriksa barisan kehormat pegawai bomba yang menamatkan Kursus Sains Kebombaan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
HAJIJI memeriksa barisan kehormat pegawai bomba yang menamatkan Kursus Sains Kebombaan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal mencipta sejarah dunia dengan mewujudkan Balai Bomba Gunung Kinabalu.

Pembinaan balai berkenaan akan mencatat sejarah dunia apabila menjadi balai bomba yang terletak di lokasi paling tinggi di dunia.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, setakat ini proses pembinaan balai bomba berkenaan masih di peringkat dokumentasi.

Katanya, lokasi pembinaan adalah di kawasan Warisan Dunia dan terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum pembinaan dilaksanakan.

"Saya difahamkan peruntukan untuk membina balai bomba di kawasan Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu itu sudah tersedia.

"Balai bomba ini akan menjadi pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) dan dibina pada ketinggian lebih 3,382 meter dari paras laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan KB 19 Siri 1/2022 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 148 anggota dan pegawai bomba ditauliahkan selepas tamat Sijil Sains Kebombaan siri 01/2022.

Pentauliahan yang dijalankan sejak Mac lalu itu diadakan pusat latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Sabah.

Masidi berkata, sebaik siap dibina, balai bomba ini akan memudahkan pasukan Mosar yang kini berpusat di Balai Bomba Ranau menjalankan operasi sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini di Gunung Kinabalu.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapan berkata, kerajaan negeri amat menghargai komitmen JBPM dengan penempatan dan kesiapsiagaan Mosar di Gunung Kinabalu.

Katanya, Mosar adalah anggota bomba yang mempunyai kepakaran yang khusus dan kompeten bagi melaksanakan tugas penyelamatan di gunung.

"Berdasarkan kepada statistik penyelamatan yang dihadiri oleh Mosar, bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 26 kes penyelamatan dilaksanakan oleh pasukan ini," katanya.

Untuk rekod, Pasukan Mosar ditubuhkan pada 2015, susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 2:54 PM