GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil ringan jangkitan akibat wabak Covid-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas.

Beliau berkata, kini lebih 110 negara sudah merekodkan peningkatan kes Covid-19 yang didorong oleh dua subvarian berkenaan.

"Selain Malaysia, negara jiran seperti Singapura dan Indonesia juga mengalami peningkatan kes.

"Ramai orang di sekeliling kita yang tidak dijangkiti Covid-19 sepanjang dua tahun lalu kini sudah dijangkiti.

"Pakai pelitup muka di tempat tertutup dan kawasan sesak serta amalkan langkah uji, lapor, maklum, asing dan dapatkan rawatan (TRIIS)," katanya dalam ciapan di Twitternya, hari ini.

Khairy menegaskan, individu yang belum mendapatkan dos penggalak untuk lakukan dengan segera terutama kepada warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini dilihat sedang merebak di beberapa negara termasuk Asia seperti Thailand, Filipina, India selain Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Semalam, sebanyak 2,932 kes baharu Covid-19 dilaporkan iaitu meningkat daripada 1,918 kes kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 6:28 PM