GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada serta terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuat ujian kendiri sebelum pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini, negara menyaksikan bilangan kes Covid-19 meningkat mendadak kepada 3,410 kes pada 12 Mei lalu.

"Ini antara lain berpunca daripada peningkatan kadar pergerakan dalam masyarakat dan aktiviti perkumpulan ramai.

"Jadi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini, teruskan berwaspada apabila pergi menziarah ahli keluarga.

"Pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup dan sesak, amalkan #TRIIS serta lakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

TRIIS merujuk kepada Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum) dan Seek (Cari) seperti disarankan KKM.

Sebelum ini, Khairy memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengambil ringan jangkitan akibat wabak Covid-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 1:37 PM