Barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan Pisang berjaya dikesan anggota Maritim Malaysia, Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur, 11 pagi semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan Pisang berjaya dikesan anggota Maritim Malaysia, Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur, 11 pagi semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Cubaan juragan bot jongkong menyembunyikan pelbagai produk kosmetik di bawah timbunan pisang gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, semua produk kosmetik tanpa permit itu disyaki cuba dibawa masuk dan dipasarkan secara haram di sekitar daerah ini.

Menurutnya, bot jongkong yang dikendalikan juragan warga Indonesia berumur 35 tahun dikesan bergerak dalam kejadian mencurigakan dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau oleh pasukan peronda yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur, pada jam 11 pagi.

"Bot jongkong yang sarat membawa muatan pisang itu kemudiannya ditahan pada kedudukan 1.9 batu nautika utara Sungai Pukul untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan dipercayai produk dari negara jiran," katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barangan kosmetik yang dibawa.

Katanya, antara produk yang dirampas ialah 423 set kosmetik, 264 botol minyak angin pelbagai jenama, 200 botol penyembur deodoran pelbagai jenama dan beberapa produk kesihatan yang didaftarkan di negara jiran dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM56,000.

"Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967, Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 2:46 PM