KHALID hadir bagi bicara kes Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KHALID hadir bagi bicara kes Ahmad Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa pemberian dana RM10 juta oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Yayasan Akalbudi kepada Armada Holdings Sdn Bhd untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah pelaburan dan bukan pinjaman.

Ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 64, atau lebih dikenali sebagai Datuk K berkata, wang RM10 juta itu dikembalikan berserta faedah sebanyak RM69,722.65 kepada yayasan itu.

"Secara tidak langsung Yayasan Akalbudi tidak mengalami apa-apa kerugian dan memperolehi keuntungan yang sama atau yang sepatutnya," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan membela diri Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Datuk K juga mengakui dia mengenali Timbalan Perdana Menteri itu hampir 30 tahun sejak bertugas sebagai seorang pengurus bahagian pinjaman di Bank Bumiputra yang kini dikenali sebagai bank CIMB.

Khalid berkata, apabila beliau mengetahui wang itu daripada sumber YAB dan daripada akaun simpanan tetap, beliau (Khalid) memaklumkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr untuk membuat kiraan faedah berdasarkan 'opportunity loss' daripada wang itu apabila memulangkannya.

Suami kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin itu berkata, daripada pengalamannya sebagai seorang ahli perbankan (banker), apabila sesuatu duit disimpan di dalam akaun simpanan tetap ia secara tidak langsung adalah untuk menjana keuntungan melalui pelaburan.

"Oleh itu, dalam fahaman saya, wang RM10 juta yang diberikan oleh Datuk Seri Zahid kepada Datuk Wasi Khan adalah masih berbentuk pelaburan tanpa apa-apa kerugian kepada pengeluaran wang itu, walaupun ia tidak disebut oleh Datuk Seri (Ahmad) Zahid ketika pertemuan di antara kami bertiga.

"Saya juga mengetahui Datuk Seri (Ahmad) Zahid adalah seorang bekas ahli perbankan dan mempunyai pengetahuan mengenai perkara ini. Jumlah RM10 juta adalah bertujuan semata-mata untuk membolehkan syarikat Armada Holdings layak untuk membida tender sebagai syarikat pembekal arang batu kepada TNB yang mana dipercayai akan memberikan pulangan yang baik kepada syarikat sekiranya berjaya dan bukan untuk tujuan lain," katanya.

Khalid berkata, atas dasar tanggungjawab, beliau memohon untuk menjadi salah seorang penandatangan syarikat Armada Holdings bagi memastikan pelaburan daripada Ahmad Zahid melalui YAB dipulangkan semula dengan selamat tanpa kerugian beserta dengan kiraan faedah.

"Inisiatif ini saya usulkan sendiri kerana saya ingin memastikan hak-hak Yayasan Akalbudi dan tujuan asal mengapa Datuk Seri Zahid mengeluarkan wang daripada akaun simpanan tetap tersebut akan terjamin dan tidak mengalami kerugian," katanya.

Menceritakan mengenai pemberian dana RM10 juta kepada Armada Holdings, Khalid berkata, sekitar 2015, Wasi Khan yang juga saksi pendakwaan ke-21 itu bertemu dengannya dan memaklumkan bahawa beliau (Wasi Khan) berhasrat untuk menubuhkan satu syarikat pembekalan arang batu di Indonesia.

Menurut Khalid, syarikat berkenaan (Armada) memerlukan modal berbayar RM10 juta untuk memenuhi syarat minima bagi didaftarkan sebagai syarikat pembekal atau kontraktor di bawah TNB.

"Datuk Wasi Khan tahu bahawa saya merupakan seorang kenalan rapat kepada Datuk Seri Zahid dan beliau (Wasi Khan) telah meminta bantuan saya untuk menguruskan satu perjumpaan dengan Datuk Seri Zahid. Saya bersetuju dengan permintaan Datuk Wasi Khan dan telah menguruskan satu perjumpaan di antara kami berdua bersama Datuk Seri Zahid di pejabat beliau di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya," katanya.

Saksi pembelaan kelapan itu berkata, dalam pertemuan itu Wasi Khan menyatakan hasratnya kepada Ahmad Zahid dan meminta campur tangan Ahmad Zahid untuk meminta pihak TNB supaya dapat mengurangkan jumlah modal berbayar kepada RM5 juta sahaja.

"Namun, Datuk Seri Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian kerana ia di luar bidang kuasa beliau dan menjadi satu kesalahan sekiranya beliau campur tangan dalam urusan dan polisi yang telah ditetapkan oleh TNB.

"Saya seterusnya memaklumkan kepada Datuk Seri Zahid berkenaan kredibiliti, latar belakang dan penglibatan Datuk Wasi Khan dalam bidang perniagaan. Datuk Seri Zahid percaya bahawa saya tidak akan membawa individu sembarangan untuk berjumpa dengan Datuk Seri Zahid melainkan saya yakin dengan kebolehpercayaan individu tersebut," katanya yang mengenali Wasi Khan selama 20 tahun.

Katanya, pada akhir perbincangan, Ahmad Zahid bersetuju untuk terbabit dengan membantu menyediakan dana sebanyak RM10 juta dan Wasi Khan memaklumkan telah menerima cek daripada YAB.

"Hasil daripada penerimaan cek itu, Datuk Wasi Khan menubuhkan Armada Holdings Sdn Bhd dengan jumlah modal berbayar berjumlah RM10 juta," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Khalid tidak bersetuju bahawa dana itu adalah satu pinjaman, sebaliknya pelaburan dan saksi berkenaan tidak terlintas menolak pelawaan Ahmad Zahid untuk membantu memberikan dana RM10 juta.

Disoal lanjut, adakah saksi itu tidak terfikir bagaimana Ahmad Zahid mendapatkan dana berkenaan (RM10 juta), Khalid menjawab Ahmad Zahid adalah seorang tokoh korporat, usahawan, bekas ahli perbankan selain mempunyai sumber kewangan yang pelbagai.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Berita berkaitan: Datuk K mohon pakai cermin mata gelap di kandang saksi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 2:18 PM