Antara produk kesihatan dan kosmetik yang tidak bernotifikasi dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4.2 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Klang pada Isnin lalu.
Antara produk kesihatan dan kosmetik yang tidak bernotifikasi dirampas Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4.2 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Klang pada Isnin lalu.
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Waspada terhadap ubat-ubatan haram atau tidak berdaftar dijual berleluasa di pasaran.

Ia terbukti apabila Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor merampas 857 ubat-ubatan dan makanan penjagaan kesihatan tidak berdaftar bernilai RM4.2 juta menerusi 124 serbuan di negeri ini sepanjang Januari hingga Mei lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Farmasi) Dzafarullah Daud berkata, serbuan dilakukan berdasarkan hasil maklumat awam risikan pihaknya yang kebiasaannya mengambil masa selama dua bulan.

"Rampasan membabitkan tiga kategori produk utama iaitu perangsang seks, pelangsing badan dan memutihkan kulit atau wajah.

"Hasil pemeriksaan mendapati produk berkenaan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di Management and Science University (MSU) di sini, semalam.

Terdahulu, program dirasmikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Roselan Ishak. Hadir sama, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd. Shukri Ab Yajid.

Dzafarullah berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya juga telah menyaring dan menyekat sebanyak 264 laman sesawang dan laman sosial yang didapati melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tahun lalu.

"Ia termasuk membabitkan kesalahan mengiklan dan menjual ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan yang tidak berdaftar.

"Untuk itu, kita sentiasa proaktif menjalankan pemantauan seumpama itu selain pemeriksaan dan serbuan ke atas premis penjualan," katanya.

Pada masa sama, semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang ramai.

"Pendaftaran itu adalah kaedah yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Ini bagi menjamin keselamatan dan kualiti semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 8:00 AM