DZAFARULLAH (dua dari kiri) melihat pameran pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di MSU, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
DZAFARULLAH (dua dari kiri) melihat pameran pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di MSU, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Sebanyak 857 ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan tidak berdaftar bernilai RM 4.2 juta dirampas menerusi 124 serbuan di negeri ini sepanjang Januari hingga Mei lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor (Farmasi) Dzafarullah Daud berkata, serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berdasarkan maklumat awam risikan yang biasanya mengambil masa dua bulan.

"Rampasan membabitkan tiga kategori produk utama iaitu perangsang seks, pelangsingan badan dan memutihkan kulit atau wajah.

"Pemeriksaan mendapati produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM), sekali gus mendatangkan risiko kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Scan, Sahih dan Selamat di Management and Science University (MSU) di sini, hari ini.

Terdahulu, program dirasmikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Roselan Ishak. Hadir sama, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd. Shukri Ab Yajid.

Dzafarullah berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya juga sudah menyaring dan menyekat 264 laman sesawang dan laman sosial yang didapati melanggar peraturan ditetapkan sepanjang tahun lalu.

"Ia termasuk membabitkan kesalahan mengiklan dan menjual ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan yang tidak berdaftar.

"Kita sentiasa bertindak proaktif dalam menjalankan pemantauan seumpama itu selain pemeriksaan dan serbuan ke atas premis penjualan," katanya.

Pada masa sama, katanya, semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 sebelum dijual kepada orang ramai.

"Ini bagi menjamin keselamatan, keberkesanan dan kualiti semua ubat-ubatan dan suplemen penjagaan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 12:42 PM