AHMAD Zahid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau.
 FOTO BERNAMA
AHMAD Zahid hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau.
 FOTO BERNAMA
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa dana Yayasan Akalbudi berjumlah RM65 juta yang didakwa pihak pendakwaan diterimanya dan dipindahkan ke dalam akaun simpanan tetap, bukan hasil daripada aktiviti haram.

Ahmad Zahid yang membela diri terhadap 27 tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi hari ini, menjelaskan dana berkenaan adalah sumbangan dan derma daripada individu serta badan korporat kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskannya bagi tujuan amal jariah.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau tidak pernah pada bila-bila masa mengarahkan firma guaman Tetuan Lewis & Co (yang dilantik menguruskan dana yayasan) peguam atau pekerjanya termasuk Puan B Sothilechmy (kerani) untuk mendepositkan dana berkenaan ke dalam akaun simpanan tetap.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan menunjukkan bahawa simpanan tetap berjumlah RM65 juta itu adalah daripada pengeluaran wang tunai daripada akaun pelanggan Tetuan Lewis & Co.

"Saya menyatakan bahawa saya tidak mempunyai pengetahuan peribadi bahawa simpanan tetap itu

adalah daripada pengeluaran akaun pelanggan. Dalam hal ini, saya menyatakan B Muralidharan (peguam) memasukkan dana tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.

"Saya juga menyatakan Puan Sothilechmy mengesahkan perkara ini di mahkamah bahawa beliau mendapat arahan daripada Muralidharan untuk memasukkan dana itu ke dalam akaun simpanan tetap.

"Ketika saya melantik Tetuan Lewis & Co untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi, Muralidharan pernah memberitahu saya bahawa beliau akan menguruskan dana itu dengan membuka akaun simpanan tetap supaya yayasan dapat memperoleh kadar faedah. Muralidharan juga memberitahu saya bahawa beliau perlu untuk berbuat demikian berdasarkan undang-undang," katanya.

Ahmad Zahid berkata, firma guaman itu dilantik untuk menguruskan dana Yayasan Akalbudi kerana yayasan itu tiada kakitangan, di mana hanya terdapat seorang setiausaha sulit menguruskan akaun peribadi dan akaun yayasan.

"Saya tidak pernah beri arahan supaya dana berkenaan dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap," katanya.

Mengenai dana berjumlah RM5.9 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk membuat pembayaran bagi dua lot tanah banglo di Country Height, Kajang menggunakan akaun simpanan tetap.

Menurut Ahmad Zahid, dana Yayasan Akalbudi dikendalikan Muralidharan menggunakan budi bicara peguam itu sepenuhnya dan lelaki itu mengetahui transaksi keluar masuk wang di dalam akaun pelanggan dan mempunyai budi bicara tunggal untuk menentukan berapa banyak jumlah dana yang perlu dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap.

Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa pengeluaran simpanan tetap oleh Muralidharan bagi tujuan pembayaran dua lot tanah banglo itu bukan wang daripada hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid menjelaskan, pembelian dua bangunan di lot tanah itu adalah untuk dijadikan pusat pengajian Al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan pelajar tahfiz serta menegaskan beliau tidak tidak pernah menggunakan kedua-dua lot banglo itu sebagai kediaman dan kegunaan peribadi.

Katanya, bangunan di lot tanah yang kedua sedang dinaiktaraf dan diubahsuai bagi kegunaan pelajar tahfiz yang dikenali sebagai Madrasah Tahfiz.

Tambahnya, dua lot tanah banglo itu diletakkan di bawah nama Yayasan Al-Falah kerana ia adalah sumbangan daripada Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 6:27 PM