MOHD Amirullah (kanan) bersama dua adiknya, Qistina Amalia dan Qasdina Afiqah melihat gambar ibu dan bapanya. FOTO  Rosli Ilham
MOHD Amirullah (kanan) bersama dua adiknya, Qistina Amalia dan Qasdina Afiqah melihat gambar ibu dan bapanya. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: "Saya sangat terkejut selepas doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengandung," kata Mohd Amirullah Mohd Abdika, 16, anak sulung Rabiatuladawiah Saufi, 36, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat persimpangan Tanjung Jara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Rabiatuladawiah yang membonceng motosikal Aprilia RSV4 ditunggangi suaminya Mohd Abdika Razali, 36, terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Innova menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia.

Mohd Amirullah berkata, doktor memaklumkan ibunya itu mengandung tiga bulan selepas membuat bedah siasat ke atas mayatnya, malam tadi.

"Sebelum ini, ibu ada memaklumkan dia mengandung dan saya bersama dua adik sangka dia bergurau.

"Dia selalu bergurau begitu dengan kami... sebab itu saya tak ambik pusing, namun selepas dimaklumkan doktor saya bertambah sedih," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjal, Kemaman, hari ini.

Katanya, beberapa hari sebelum itu, dia ada melihat alat ujian mengandung di dalam bilik ibunya, tetapi tidak mengesyaki ibunya mengandung.

"Kalau diikutkan, ibu sepatutnya melahirkan adik pada hujung tahun ini, namun apa boleh buat kerana semua sudah ketentuan Ilahi," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga sempat bercuti di Gunung Jerai, Kedah pada Ahad lalu.

"Mulanya kami dibawa ayah dan ibu keluar makan di Bandar Kuala Terengganu, tiba-tiba ibu dan ayah mengajak kami ke Kedah dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Percutian itu sungguh menyeronokkan dan tak sangka ia adalah kenangan terakhir kami adik-beradik bercuti bersama ibu dan ayah," katanya.

Katanya, jenazah ibu bapanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai kira-kira 3 pagi tadi.

Sementara itu, ibu kepada Rabiatuladawiah, Rahani Ismail, 61, berkata anaknya itu tidak memaklumkan bahawa dia mengandung.

"Saya tak diberitahu arwah anak (mengandung) dan kali terakhir dia bawa saya berkelah di Pantai Teluk Kalong pada Sabtu lalu tetapi dia tidak ceritakan perkara itu.

"Saya akan memikul amanah untuk menjaga tiga cucu ini dan kami kami sekeluarga dan keluarga belah menantu sudah berpakat akan menjaga cucu-cucu kami itu sebaik mungkin," katanya.

Katanya, dia masih terkejut dan sedih dengan kehilangan anak serta menantu, namun reda dengan apa yang ditentukan Ilahi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 5:04 PM