Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menangguhkan keputusan kes dihadapi bekas EXCO Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah yang menghadapi 37 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram ke 7 Ogos depan.

Penangguhan itu diputuskan Hakim Kamarudin Kamsun ketika prosiding yang sepatutnya ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pembelaan itu, hari ini.

Dalam penghakimannya, Kamarudin berkata, masih terdapat beberapa hujahan daripada pihak terbabit yang belum diterima sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Masih terdapat beberapa hujahan yang belum dibuat dan saya perlu mendengar hujahan terbabit sebelum membuat keputusan.

"Maka, saya tidak boleh membuat keputusan pada hari ini dan keputusan akan ditetapkan ke satu tarikh baharu," katanya.

Mendengar penghakiman itu, peguam yang mewakili Abd Latif, 56, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 30, iaitu Datuk Salehuddin Saidin memohon budi bicara mahkamah untuk mendengar beberapa hujahan daripada pihak pembelaan yang ingin membuat beberapa klarifikasi berhubung kes itu.

Prosiding turut mendengar beberapa hujahan dari pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pengarah I, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama barisan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat.

ABD Latif (kanan) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ABD Latif (kanan) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Selain Salehuddin pula, Abd Latif dan Ahmad Fauzan turut diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49, pada 14 Jun 2017, didakwa atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta dan masing-masing mengaku tidak bersalah.

Kamarudin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:58 PM