Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 7 November depan bagi keputusan sama ada bekas Exco Johor Datuk Abd Latif Bandi perlu membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah atau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan demikian selepas selesai mendengar hujah daripada pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding yang berlangsung selama dua hari.

Pada 21 April 2019, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Abd Latif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Endau daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, lima tahun lalu.

Selain itu, anak lelakinya Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan.

Prosiding rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.

Turut membantu adalah Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

Manakala Abdul Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin diwakili peguam, Datuk Hasnal Redzua Merican dan Datuk Sallehudin Saidin.

Terdahulu, Wan Shaharuddin dalam hujahan akhirnya berkata, Hakim ketika perbicaraan terkhilaf dan silap dalam pemahaman undang-undang ketika membuat keputusan melepas dan membebaskan Abd Latif yang juga responden kedua dan dua lagi responden, dua tahun lalu.

"Hakim bicara tidak mempertimbangkan keterangan penting dalam alasan penghakimannya termasuk keterangan pihak pembelaan yang mengakui responden kedua ada menerima wang berkenaan.

"Apa yang menjadi isu sama ada wang itu adalah suapan atau tidak. Malah responden kedua tidak menafikan bahawa beliau ada menerima wang itu.

"Namun responden kedua menyatakan wang itu adalah pinjaman daripada responden pertama (Amir Shariffuddin), sedangkan wang itu berasal daripada pemaju perumahan negeri ini yang ingin mendapat pelepasan lot hartanah Bumiputera, dengan responden kedua sebagai Exco ketika itu ada peranannya untuk membuat pelepasan berkenaan," hujahnya.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum itu, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 2:49 PM
Gambar fail, Abd Latif ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk perbicaraan kesnya pada 7 Julai 2017. FOTO Arkib NSTP.
Gambar fail, Abd Latif ketika hadir di Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk perbicaraan kesnya pada 7 Julai 2017. FOTO Arkib NSTP.