ABD Latif bersalam dengan peguamnya selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak harta. FOTO Zain Ahmed
ABD Latif bersalam dengan peguamnya selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak harta. FOTO Zain Ahmed
Mary Victoria Dass


“KAMI bersyukur dengan keputusan hari ini,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latif Bandi, 53, mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru menolak permohonan pelucutan hak terhadap harta bernilai RM1.58 juta miliknya dan ahli keluarga.

Abdul Latif berkata, permohonan pelucutan itu tidak berasas dan beberapa kenderaan miliknya serta ahli keluarga sudah pasti mengalami kerosakan kerana lama tidak digunakan.

“Apa-apa pun saya bersyukur dengan keputusan hari ini,” katanya.

Abdul Latif tiba di mahkamah bersama anak, Ahmad Fauzan Hatim serta isteri Ahmad Fauzan, Nur Shaliza Mohd Salleh.

Terdahulu permohonan dikemuka oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abd Jumaat.

Permohonan bagi pelucutan hak membabitkan Honda CRV, Toyota Land Cruiser, Honda HRV, Nissan Skyline, Porsche Cayenne, Toyota Vellfire dan sebuah motosikal 500cc serta 19 jam tangan berjenama.

Selain itu, ia membabitkan mata wang asing seperti Singapore, Hong Kong, Kuwait dan wang tunai RM406,000 milik syarikat Ahmad Fauzan.

Ia adalah lanjutan daripada perintah mahkamah untuk mengarahkan semua harta bekas ahli politik dan keluarganya dikembalikan mengikut pemilikan pendaftaran sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas permohonan pelucutan hak ditolak, pihak pendakwaan memohon penangguhan pelaksanaan perintah mengikut Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang akan difailkan dalam tempoh masa terdekat.

Mahadi menyatakan pihaknya mempunyai asas kukuh untuk memohon rayuan pelaksanaan perintah berkenaan.

Selepas mendengar hujahan daripada timbalan pendakwa raya dan peguam bela bekas ahli politik itu, Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamarudin Kamsun membenarkan permohonan penangguhan bagi mengembalikan harta.

Kamarudin memerintahkan supaya rayuan permohonan dilakukan dalam tempoh dua minggu dan sekiranya tiada permohonan dikemuka, aset berkenaan akan dipulangkan kepada pemilik berdaftar.

Malah Kamarudin juga membenarkan responden yang terdiri daripada bank untuk membuat permohonan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membenarkan mengembalikan kereta yang disita dengan sejumlah bon cagaran bergantung kepada budi bicara.

Permohonan pelucutan hak empat aset lain dijangka dibicarakan Isnin ini.

Abd Latif dan ahli keluarganya diwakili peguam, Abd Rahim Ali.

Pada 21 April lalu, ahli politik itu dan anaknya serta perunding hartanah dilepas dan dibebaskan daripada semua 37 pertuduhan rasuah.

Abdul Latif, 69, dan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, dituduh mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Sebelum ini, SPRM merampas 21 kenderaan mewah termasuk Porsche Cayenne, Bentley, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM500,000 serta membekukan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta bagi membantu siasatan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:46 PM