Aizat Sharif


Kangar: Penuaan usia populasi di negara ini dilihat mula memberi kesan kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) seperti obesiti dan diabetis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetis tetapi kebanyakan tidak sedar bahawa mereka menghidapinya.

"Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap diabetis bersamaan anggaran 3.9 juta individu atau 18.3 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di negara ini.

"Angka ini menunjukkan peningkatan daripada tinjauan yang sama pada tahun 2015 iaitu 13.4 peratus dan angka ini sebenarnya membimbangkan kerana tahap kesedaran rakyat mengenai kesihatan mereka masih rendah.

"Malah, berdasarkan unjuran statistik Jabatan perangkaan Malaysia pada 2019 mendapati, populasi warga emas dalam lingkungan 60 tahun ke atas di negara ini akan meningkat kepada 15 peratus daripada keseluruhan populasi dan ini bermakna Malaysia akan menjadi negara berusia emas menjelang tahun 2030," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini hari ini yang dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Katanya, disebabkan itu juga, pihaknya mahu warga emas di negara ini dapat menjalani kehidupan yang sihat dan berkualiti.

"Selain itu juga, masalah kesihatan mental juga dilihat semakin meningkat dan ia memberikan cabaran besar kepada sektor kesihatan di negara ini kerana ia bukan sahaja mempengaruhi kesihatan fizikal sebaliknya kualiti dan produktiviti seseorang sama ada kanak-kanak atau dewasa.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 juga menunjukkan bahawa 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 9.5 peratus kanak-kanak antara usia 10 hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata, kadar berkenaan tidak mustahil adalah lebih tinggi pada hari ini akibat kesan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Ini terbukti melalui peningkatan orang ramai yang cuba mendapatkan bantuan dan sokongan kesihatan mental dan kita meletakkan sasaran 1.5 juta rakyat negara ini berusia 40 tahun ke atas yang tidak pernah melakukan saringan kesihatan untuk disaring dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Oleh itu, kita di Kementerian Kesihatan bersama rakan strategik menggunakan kesempatan seperti Jelajah ANMS ini untuk menggerakkan inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan supaya lebih ramai di luar sana yang terlepas saringan kesihatan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 dapat tampil menjalani saringan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 3:35 PM
KHAIRY (kiri) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) dan Tuanku Lailatul (kanan) bersama menunjukkan simbolik logo pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat. FOTO Aizat Sharif
KHAIRY (kiri) bersama Tuanku Syed Faizuddin (tengah) dan Tuanku Lailatul (kanan) bersama menunjukkan simbolik logo pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat. FOTO Aizat Sharif