BERNAMA

Serdang: Kementerian Kesihatan (KKM) meletakkan sasaran untuk mencapai 90 peratus saringan pendengaran terhadap bayi di negara ini, dalam tempoh tiga tahun, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata peratusan bayi yang disaring ketika ini adalah 62 peratus dan ia perlu dipertingkatkan bagi mencapai standard yang ditetapkan Jawatankuasa Bersama Pendengaran Bayi (JCIH) iaitu 95 peratus.

Selain mempertingkatkan kekuatan sumber manusia iaitu audiologis dan perolehan aset di hospital, Khairy juga mahu program Penjagaan Telinga dan Pendengaran Kebangsaan (NEHC) dijadikan sebagai satu jawatankuasa khas di bawah Bahagian Perkembangan Perubatan bagi melaksanakan perancangan strategik, penyelarasan dan pemantauan, terhadap program Saringan Pendengaran Universal Bayi Baru Lahir (UNHS).

"Ia bagi memastikan kita berupaya membuat intervensi awal ke atas bayi baru lahir, yang didapati mempunyai masalah pendengaran," katanya dalam sidang media sempena Hari Pendengaran Sedunia 2022 di sini hari ini.

Berkongsi data program UNHS yang mendapati, insiden masalah pendengaran jenis kekal adalah empat bagi setiap 1,000 bayi yang disaring, Khairy mahu program UNHS dijadikan agenda kesihatan kebangsaan pada masa akan datang.

"Ini adalah penting kerana masalah hilang upaya pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak adalah ketidakupayaan yang tersembunyi. Kegagalan pengesanan awal memberi impak ketara terhadap masa depan mereka," katanya.

Menurut Khairy, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menganggarkan, 7.6 peratus populasi dewasa atau 1.9 juta orang di negara ini mengalami ketidakupayaan pendengaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 3:31 PM
KHAIRY Jamaluddin berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang. FOTO BERNAMA
KHAIRY Jamaluddin berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di Hospital Serdang. FOTO BERNAMA