Pengambilan makanan berasaskan pulut tanpa kawalan yang mempunyai banyak karbohidrat dipercayai antara faktor peningkatan penyakit kencing manis atau diabetes di Perlis.
Pengambilan makanan berasaskan pulut tanpa kawalan yang mempunyai banyak karbohidrat dipercayai antara faktor peningkatan penyakit kencing manis atau diabetes di Perlis.
Aizat Sharif


Kangar: Pengambilan makanan berasaskan pulut tanpa kawalan yang mempunyai banyak karbohidrat dilihat antara faktor kepada peningkatan penyakit kencing manis atau diabetes di Perlis.

Malah, Perlis menjadi negeri kedua di negara ini selepas Negeri Sembilan yang mempunyai ramai pesakit diabetes terutama dalam kalangan warga emas yang didapati menjadikan hidangan terkenal berasaskan pulut seperti Pulut Panggang, Pulut Ikan Masin, Pulut Ayam atau Pulut Harumanis sebagai makanan lazim buat mereka.

Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari berkata, berdasarkan data Kajian Tinjauan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2019 terhadap penduduk Perlis dewasa berusia 18 tahun ke atas berkaitan Penyakit Tak Berjangkit mendapati penyakit kencing manis menunjukkan peningkatan ketara berbanding darah tinggi dan kolestrol.

"Bagi kencing manis, trend peningkatan bebanan penyakit ini begitu ketara iaitu sebanyak dua kali ganda daripada 16.9 peratus pada kajian NHMS 2015 kepada 32.7 peratus pada kajian NHMS 2019.

"Peningkatan ini membabitkan anggaran seramai 52,184 orang penduduk di negeri ini," katanya

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Media Kesihatan dan Rakan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (AMNS) di Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jalan Raja Muda, di sini semalam.

Terdahulu, Ismuni menyampaikan plak penghargaan kepada 33 agensi rakan strategik termasuk 10 wakil agensi media Perlis sebagai menghargai peranan dimainkan mereka dalam menyebarluas pelbagai maklumat serta program kesihatan untuk masyarakat.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang menjurus kepada peningkatan penyakit kencing manis di negeri itu seperti peningkatan usia dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit kronik lain seperti kencing manis atau darah tinggi.

"Di Perlis, golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas sangat ramai di negeri ini jadi faktor peningkatan usia juga terus memainkan peranan utama dalam peningkatan peratusan kes malah, berat badan berlebihan atau obesiti, pemakanan yang tidak seimbang serta gaya hidup yang tidak aktif juga dilihat sebagai antara faktor kepada berlakunya peningkatan berkenaan.

"Malah, makanan di Perlis jika diteliti terlalu banyak karbohidrat di mana terdapat pelbagai makanan berasaskan pulut.

"Jika dahulu pulut ini sering dimakan waktu pagi (sebagai tenaga) dan golongan petani ini akan turun membajak sawah namun sekarang pekerjaan dimudahkan dengan penggunaan mesin padi namun cara pemakanan masih terus kekal sehingga menjurus kepada gaya hidup yang tidak sihat sehinggalah mendapat penyakit kencing manis," katanya.

Dr Ismuni berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis sudah merangka Pelan Strategik Diabetes Negeri Perlis sebagai langkah negeri itu mengawal penyakit berkenaan daripada terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 12:06 PM