Empat suspek diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Kompleks  Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman berkaitan kes meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Empat suspek diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman berkaitan kes meminta dan menerima rasuah tiga tahun lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Empat anggota polis ditahan reman seminggu bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM12,000.

Suapan itu bagi membolehkan penyeludupan masuk barangan terlarang termasuk dadah ke lokap, tiga tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin membenarkan perintah itu selepas permohonan dilakukan Pegawai Penyiasat Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdullah Fahmy Mohd@Saleh bagi melengkapkan siasatan kes.

Terdahulu, keempat-empat suspek berpangkat Koperal dan Lans Koperal berusia 35 hingga 40 tahun yang memakai baju lokap SPRM warna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini, jam 9.30 pagi dengan menaiki dua kenderaan SPRM.

Difahamkan semua suspek yang bertugas di sebuah balai polis di Alor Gajah menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pindahan wang atas talian sebagai upah menjadi 'orang tengah' untuk membawa masuk barangan haram seperti rokok, dadah, tembakau dan makanan bagi kegunaan tahanan.

Bayaran diterima daripada orang suruhan tahanan berjumlah antara RM600 hingga RM9,000 melalui kira-kira 20 transaksi dalam tempoh setahun bermula 2019 hingga 2020.

Semua mereka ditahan di pejabat SPRM Melaka di Alai petang semalam, ketika hadir bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 4:31 PM