Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengawal keselamatan didakwa memecah masuk Pejabat Tanggungjawab (PTJ), Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh baru-baru ini dan mencuri wang dari peti tunai direman enam hari bagi membantu siasatan kes itu.

Majistret Mazana Sinin mengeluarkan perintah itu selepas dipohon pegawai penyiasat kes bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan.

Beliau membenarkan suspek berusia 25 tahun itu dan berkerja di tempat kejadian direman bermula hari ini hingga 13 September ini.

Terdahulu suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah sekitar jam 9 pagi sebelum dibawa ke kamar Mahkamah Majistret 1.

Harian Metro hari ini melaporkan suspek yang baru dua bulan berkhidmat ditahan polis jam 12.30 tengah hari semalam.

Hasil soal tanya suspek mengaku terbabit kes pecah pejabat dan kafe mahkamah berkenaan serta sudah membelanjakan semua wang dicuri daripada peti tunai berjumlah RM835 untuk kegunaan sendiri termasuk membeli minuman keras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 2:24 PM