RUMAH lima pintu berhampiran pintu gerbang Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
RUMAH lima pintu berhampiran pintu gerbang Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebuah rumah lima pintu berhampiran pintu gerbang Kampung Baru, Jalan Raja Muda Musa, di sini, musnah dalam kebakaran malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari MERS999 berhubung kejadian itu pada 8.19 malam.

Berikutan itu, sepasukan 36 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dengan bantuan BBP Sentul, BBP Jalan Tun Razak, BBP Hang Tuah diketuai Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Rahmat Kamarulzaman kemudian bergegas ke lokasi.

"Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian, kebakaran sebuah rumah berkeluasan 7.4 x 3.7 meter persegi membabitkan lima pintu dan terbakar 90 peratus.

"Tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik 'offensive' dan 'defensive' dengan membuat 'cooling' di rumah berhampiran," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, tiada mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu.

Menurutnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 10:27 PM