Lima kediaman di mana satu dijadikan sebagai stor perabot dan tempat pemotongan khinzir di Jalan 18, Kampung Baru Salak Selatan, di sini, musnah 100 peratus dalam kebakaran pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA
Lima kediaman di mana satu dijadikan sebagai stor perabot dan tempat pemotongan khinzir di Jalan 18, Kampung Baru Salak Selatan, di sini, musnah 100 peratus dalam kebakaran pagi ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Lima kediaman di Jalan 18, Kampung Baru Salak Selatan, di sini, musnah 100 peratus dalam kebakaran pagi ini.

Daripada lima kediaman itu satu dijadikan sebagai stor perabot dan tempat pemotongan khinzir.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pada 5.31 pagi.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, E Yogeswaran berkata, seramai 46 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi, BBP Cheras dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran membabitkan lima rumah jenis separa kekal.

"Tekanan air rendah menyukarkan operasi pemadaman bagaimanapun kebakaran berjaya dikawal pada 6.35 pagi.

"Kejadian tidak membabitkan mangsa dan kemusnahan kebakaran dianggarkan 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 9:27 AM